Gulai Tulang Ikan Masin- Hidangan Nostalgia Zaman Dulu- Dulu!

Gulai Tulang Ikan Masin

Pendahuluan :

Tak lengkap dapur kampung kalau tak pernah terhidang gulai tulang ikan masin di atas meja makan. Masakan ini bukan sekadar lauk – ia adalah simbol kasih sayang dan warisan turun temurun dari dapur nenek kita dulu.

Dengan aroma rempah kari yang memikat, santan pekat yang lemak berkrim dan kemanisan tulang ikan cukup menggoda, hidangan ini membangkitkan rasa rindu akan suasana makan beramai- ramai di rumah kampung, berlaukkan sambal belacan dan ulam pegaga.

Resepi ini cukup mudah di sediakan dan rasanya sangat istimewa- seolah- olah membawa kita kembali le zaman kanak- kanak yang penuh kenangan.

Saya kongsikan resepinya di sini untuk panduan semua..

Bahan- Bahan:

  • 400g tulang ikan masin (saya guna tulang ikan talang masin)
  • 1 sudu besar rempah kari ikan
  • 2 sudu besar rempah gulai darat/ rempah gulai kawah
  • 1 labu bawang besar- di hiris nipis
  • 2 ulas bawang putih- di hiris nipis
  • 1 inci halia- di hiris nipis
  • 2 tangkai daun kari
  • Santan pekat dari 1 biji kelapa /1 kotak kecil santan
  • 1 cawan air – boleh lebihkan jika terlalu pekat
  • Perasa- jika perlu
  • Minyak untuk menumis
  • 1 biji tomato- belah 4
  • 5-6 biji bendi
  • Sedikit daun pudina- untuk hiasan

Langkah- Langkah:

  1. Rendam tulang ikan masin– Rendam selama 1-2jam untuk kurangkan kemasinan, kemudian toskan.
  2. Tumis bahan– Panaskan minyak, tumis bawang besar, bawang putih, halia dan daun kari sehingga wangi
  3. Masukkan rempah– Campurkan serbuk kari ikan dan rempah gulai darat dengan sedikit air hingga menjadi pes,tumis sampai naik minyak.
  4. Masak tulang ikan– Masukkan tulang ikan masin, kacau rata
  5. Tambah air dan sayur– Tuang air dan masukkan bendi.
  6. Masukkan santan– Apabila bendi dah lembut, masukkan santan. Kacau perlahan dengan api sederhana sehingga mendidih dan naik minyak. Kemudian masukkan hirisan tomato
  7. Siap untuk di hidangkan – Perasakan jika perlu kerana tulang ikan sudah pun masin. Hidang panas- panas bersama nasi putih, sambal belacan dan sedikit ulam.

Tips Tambahan:

  1. Rendam tulang ikan masin secukupnya untuk kurangkan masin yang berlebihan
  2. Gunakan santan segar dari kelapa parut untuk rasa lebih lemak dan asli
  3. Boleh juga menggunakan tualng ikan masin kurau, ikan duri dan sebagainya mengikut citarasa masing- masing
  4. Selain bendi, terung bulat atau nenas juga selalu menjadi pilihan untuk memberikan variasi rasa dan menjadikan hidangan lebih menarik. Selain itu, rasa nenas yang manis boleh seimbangkan rasa masin dari tulang ikan.
  5. Rasa dulu sebelum tambah garam atau perasa kerana tulang ikan sudah pun masin. Tambah sikit gula jika perlu.
  6. Untuk resepi kali ini, saya campurkan dengan rempah gulai darat untuk berikan sedikit kelainan rasanya tapi kalau nak guna rempah kari ikan sahaja pun boleh.
  7. Boleh tambah 1 sudu cili kisar/ serbuk cili jika nak lebih pedas.
  8. Kuah gulai yang di panaskan semula akan jadi lebih pekat dan sedap jika di makan keesokan hari.

Penutup:

Gulai kari tulang ikan masin memang membawa rasa nostalgia- sederhana tapi penuh rasa. Hidangan ini sangat sesuai untuk anda yang ingin hidangan tradisional berempah yang tak jemu di makan. Cubalah resepi ini di rumah dan nikmati keenakannya bersama keluarga.

Selamat mencuba!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top