
Pengenalan :
Siapa yang tak suka sambal belacan? Cukup dengan nasi panas, ulam dan sebiji telur goreng pun dah boleh buat kita makan bertambah. Sambal belacan memang pelengkap hidangan rakyat Malaysia- pedas, masam, manis, berlemak dan penuh umami!
Tapi tahu tak sebenarnya sambal belacan ni ada banyak versi mengikut citarasa dan negeri. Dalam entri kali ini saya nak kongsikan 5 versi sambal belacan sedap dan wajib cuba, dari yang klasik sampailah ke versi moden. Paling menarik, versi no 5 tu memang padu gila!?
Jom tengok satu-satu…
1. Sambal Belacan Klasik
Ini versi sambal belacan paling asas kerana menggunakan bahan-bahan wajib sambal belacan tetapi tetap jadi kegemaran ramai.
- 5 tangkai cili api
- 4 tangkai cili besar
- 1/2 biji limau nipis/ lemon/ limau kasturi
- 1 inci belacan (di bakar / di goreng)
- Garam dan gula secukup rasa
Tumbuk semua bahan dalam lesung batu, perah limau dan masukkan sedikit gula, gaul rata- seimbang rasa, dh siap!
2. Sambal Belacan Mangga Muda
Sambal belacan yang di gaul dengan hirisan mangga muda yang rangup dan masam pasti lebih memikat rasa.
- 5 tangkai cili api
- 4 tangkai cili besar
- 1 sudu kecil jus limau nipis/lemon
- 1 inci belacan (di bakar/ di goreng)
- 1 mangkuk kecil mangga muda (di cincang)
- garam dan gula secukupnya
Tumbuk semua bahan dalam lesung batu kecuali hirisan mangga muda, perasakan dengan jus limau, garam dan gula secukupnya. Akhir sekali baru campukan dengan hirisan mangga dan gaul rata. Sedia untuk di hidangkan
3. Sambal Belacan Buah Kuinin
Aroma buah kuinin yang harum dengan rasanya yang manis sungguh kena bila di tambah dengan rasa pedas cili dan aroma belacan.
- 5 tangkai cili api
- 4 tangkai cili besar
- 1 inci belacan (di bakar/ di goreng)
- 1 mangkuk buah kuinin (di cincang)
- 1 sudu kecil jus limau nipis
- Garam secukupnya ( tidak perlu gula kerana buah kuinin mempunyai rasa yang manis )
Tumbuk semua bahan- bahan kecuali buah kuinin, perasakan dengan jus limau dan garam secukupnya. Akhir sekali gaulkan dengan buah kuinin yang di cincang, dah siap!
4. Sambal Belacan Dengan Hirisan Kulit Limau
- 5 tangkai cili api
- 4 tangkai cili besar
- 1 sudu jus limau nipis
- 1 inci belacan (di bakar/ di goreng)
- hirisan kulit dari 1 biji limau nipis (di ambil kulit luar yang berwarna hijau sahaja, jangan sampai terambil bahagian yang berwarna putih di sebelah dalamnya kerana pahit)
- Garam dan gula secukupnya
Tumbuk semua bahan- bahan kecuali kulit limau, perasakan dengan jus limau, garam dan gula secukupnya. Seterusnya gaul rata dengan hirisan kulit limau, dah siap!
5. Sambal Belacan Thai
Banyak- banyak sambal belacan, inilah yang paling power sekali. Sambalnya tidak terlalu pekat, boleh di jadikan sebagai pencicah ikan bakar juga.
- 5 tangkai cili api
- 4 tangkai cili besar
- 1 1/2 inci belacan (di bakar/ di goreng)
- 1 sudu makan cuka
- 3 biji limau kasturi (di perah dan ambil jusnya, bersihkan dan buang semua biji yang ada- kulitnya di ambil)
- Garam dan gula secukupnya
Untuk sambal belacan yang ini kena guna blender baru jadi. Masukkan semua bahan- bahan dalam blender- cili api, cili besar, belacan, kulit liamu kasturi, jus limau kasturi dan cuka. Blender hingga hancur. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya dah siap.
Tips Tambahan:
- Belacan – sebaiknya gunakan belacan kampung yang warnanya agak cerah berbanding dengan belacan kilang yang berwarna agak gelap. Selain rasanya yang sedap, sambal yang terhasil juga kelihatan menarik. Belacan juga di bakar terlebih dahulu untuk kurangkan hanyir dan jadikan sambal tahan beberapa hari tanpa di simpan di dalam peri sejuk
Penutup:
Itulah dia 5 versi sambal belacan yang boleh buat nasi panas pun tak cukup sepinggan! Setiap versi ada keunikan dan tahap ‘kick’ tersendiri, tapi kalau tanya saya – versi No.5 tu memang paling power! Pedasnya lain macam, aromanya pula buat sesiapa yang lalu dapur terus singgah cari nasi.
Kalau anda suka mencuba sambal belacan yang berbeza-beza ikut selera dan mood, bolehlah cuba satu persatu resepi ni. Mana tahu, anda akan jumpa sambal belacan ‘signature’ anda sendiri.
Dah cuba? Jangan lupa komen versi mana yang paling kena dengan tekak anda ya. Dan kalau ada resepi sambal belacan warisan keluarga yang nak dikongsi, saya sangat alu-alukan!
Jumpa lagi dalam entri resepi seterusnya – yang pasti tak kurang pedasnya
Sellamat mencuba