Kepala Salmon Masak Asam Pedas- Menu Simple, Rasa Mewah!

Pengenalan:

Kalau sebut pasal asam pedas, mesti ramai terus terbayang lauk kampung yang cukup padu dengan kuah merah pekat, masam pedas menyengat dan aroma daun kesum yang memikat.Tapi kali ni, kita ubah sikit angin- guna kepala salmon! Ya, bukan ikan parang, bukan tenggiri tapi salmon, ikan dari negara sejuk yang kini kita masukkan dalam masakan kampung penuh rasa.

Resepi ni saya kategorikan sebagai resepi fusion- mudah sangat nak masak, tapi hasilnya nampak macam hidangan restoren mahal. Jom kita tengok bahan dan cara-caranya!

Bahan- Bahan:

  • 1 kepala ikan salmon- 450-500g di bersihkan dan di belah 2
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 2 batang serai- di titik
  • 1 kuntum bunga kantan- di belah 2
  • 2 tangkai daun kesum
  • 1 cawan air asam jawa- dari 1 sudu besar pes asam jawa+ 1 cawan air
  • 1 biji tomato- di belah 4
  • 4-5 biji bendi
  • 1 sudu kecil gula Melaka/ gula biasa
  • Serbuk perasa dan garam secukupnya
  • 2 cawan air/ secukupnya

Bahan Kisar

  • 6 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 10 tangkai cili kering- rebus dulu kemudian toskan
  • 1 sudu besar belacan

Langkah- Langkah:

  1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar sampai pecah minyak dan naik bau.
  2. Masukkan air asam jawa dan gula Melaka. Kacau rata.
  3. Tambahkan air secukupnya mengikut kepekatan kuah yang dikehendaki.
  4. Masukkan bunga kantan dan daun kesum. Biar kuah mendidih dan mesra bahan.
  5. Perlahan-lahan masukkan kepala salmon, seterusnya kacang bandi dan tomato. Perasakan dengan serbuk perasa dan garam secukupnya.Masak dengan api sederhana 8-10 minit
  6. Setelah kepala ikan salmon masak sempurna,boleh tutup api. Sedia untuk di nikmati bersama nasi putih, telur asin dan sedikit ulaman

Tips Tambahan :

  1. Air asam jawa boleh gantikan dengan asam keping cuma rasa masam dia tu lain, kalau saya lebih sukakan asam jawa sebab kuah jadi lebih pekat dan masam tu rasa berlemak sikit berbanding asam keping apapun bergantung dengan selera masing-masing
  2. Nak kuah lagi power?biarkan semalaman kuah akan jadi lebih sedap dan sebati apabila di panaskan beberapa kali
  3. Pastikan kuah tak terlalu cair – biar rasa pedas dan masam tu “melekat” pada ikan.

Penutup :

Haa, nampak je simple tapi rasa dia memang padu! Kepala salmon masak asam pedas ni confirm buat ramai terangkat kening – sedapnya lain macam. Kalau ada lebihan kepala ikan, jangan dibuang ya… boleh jadi menu istimewa yang nampak ‘high class’, tapi sebenarnya mudah je nak buat. Selamat mencuba di dapur, dan kalau jadi ke tak jadi, kongsi cerita dengan saya kat ruangan komen. Kita masak sama-sama, enjoy sama-sama! 😋🍛

Scroll to Top