
Tempoyak
Pengenalan :
Tempoyak ialah makanan tradisional yang di perbuat daripada isi buah durian yang di peram (di biarkan untuk proses penapaian semulajadi) setelah di campur dengan sedikit garam dan di simpan dalam bekas bertutup pada suhu bilik selama 3-5 hari sehingga menghasilkan rasa masam yang unik. Tempoyak mengeluarkan aroma durian masam yang kuat dan mempunyai rasa yang juga masam.
Dulu-dulu orang tua kita buat tempoyak untuk simpan isi durian musim lebat supaya tidak membazir. Sekarang kita pun masih boleh ikut cara lama- mudah, jimat dan penuh rasa asli.
Dalam entri kali ini saya kongsikan cara buat tempoyak homemade di rumah, lengkap dengan beberapa petua orang lama supaya hasilnya tahan lama dan cukup menjadi.
Bahan-Bahan :
- Isi durian – 1 mangkuk
- Garam – 1 sudu teh atau secukupnya
Cara Penyediaannya :
- Pisahkan isi durian daripada bijinya. Gunakan sudu / tangan untuk ambil isi durian dan letakkan di dalam bekas bertutup.
- Tambah kan garam– Gaul rata isi durian dengan garam. Fungsi garam adalah untuk mempercepatkan proses penapaian dan mengelakkan kulat.
- Peram – Simpan bekas bertutup pada suhu bilik selama 3-5 hari untuk proses fermentasi. Tempoyak biasanya akan mula masam selepas 2 hari. Semakin lama di simpan semakin masam rasanya.
- Simpan dalam peti sejuk- Selepas tempoyakmencapai tahap kemasaman yang anda suka, simpan tempoyak dalam peti sejuk supaya tahan lama.
Tips Tambahan :
- Buah durian– seeloknya menggunakan buah durian kampung kerana tidak terlalu manis dan terlalu lembik- nanti tempoyak jadi cepat rosak dan berbau kurang enak
- Gunakan garam kasar, bukan garam halus- membantu proses fermentasi, dan elakkan tempoyak cepat berair.
- Bekas simpanan– Gunakan bekas kaca/ plastik bertutup rapat untuk elakkan serangga dan bau keluar
- Pastikan isi durian tidak di masukkan terlalu penuh ke dalam bekas simpanan. (Isi 8/10) kerana ianya akan mengembang semasa proses penapaian dan akan muntah jika di isi penuh.
- Gunakan tangan atau sudu yang kering dan bersih supaya tempoyak tidak cepat rosak. Begitu juga dengan tempat bekas simpanan tempoyak.
- Bila dah cukup masam– simpan tempoyak dalam peti sejuk. Gunakan sudu bersih setiap kali cedok- supaya tiada pencemaran silang yang rosakkan tempoyak
Penutup :
Mudah sahajakan cara buat tempoyak homemade sendiri di rumah? Dengan hanya 2 bahan- isi durian dan sedikit garam- anda dah boleh hasilkan tempoyak yang sedap dan tahan berminggu-minggu, malah berbulan jika di simpan betul.
Selain menjimatkan, anda juga dapat menikmati tempoyak mengikut citarasa anda sama ada mahu lebih masam atau kurang. Jika anda ada lebihan di musim durian nanti, jangan lupa cuba buat tempoyak sendiri.
Selamat mencuba dan jangan lupa kpngsikan pengalaman anda di ruangan komen. Kalau anda ada resepi masakan menggunakan tempoyak yang unik, bolehlah kongsi juga.
Sampai jumpa di entri seterusnya…