Rendang Ayam Daun Semangkuk- Warisan Rasa Dari Tanjung Malim!

Rendang Ayam Daun Semangkuk


Pengenalan :

Rendang Ayam memang tidak asing dalam masyarakat kita terutamanya ketika menyambut perayaan, tapi kalau di Tanjung Malim, ada satu rendang yang cukup istimewa- Rendang Ayam Daun Semangkuk. Wangi berempah dan ada rasa herba yang unik seolah-olah menyatu dengan ayam, kerisik dan santan menjadi satu aroma yang menggiurkan.

Pertama kali saya mencuba masakan ini di rumah mertua, saya terus jatuh cinta dengan rasa rendangnya- lain dari yang lain, tapi cukup menyelerakan. Setiap kali kenduri atau hari raya, rumah akan di penuhi bau wangi rendang ini. Daun semangkuk yang di tambah bukan sekadar hanya cerita – cerita dari dapur, dari warisan.tempatan yang orang luar jarang tahu.

So hari ni saya akan kongsikan resepi rendang ayam daun semangkuk khas buat anda semua. Kalau nak guna resepi rendang sendiri pun boleh cuma tambahkan hirisan daun semangkuk je nanti. Mari kita mulakan…

Bahan-Bahan :

  • 1 ekor ayam – potong sederhana
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan santan cair
  • kerisik- 1 biji kelapa parut
  • 4-5 helai daun semangkuk – di hiris halus
  • 1/2 helai daun kunyit- di hiris halus
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Bahan kisar

  • 8-10 tangkai cili kering – di rebus, buang biji dan di kisar halus
  • 6 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 3 batang serai
  • 1/4 inci lengkuas

Langkah- Langkah :

  1. Panaskan minyak– tumis dahulu bawang putih dan bawang merah sehingga garing agar aromanya lebih wangi, kemudian masukkan semua bahan kisar yang lain sehingga pecah minyak
  2. Masukkan ayam– Masukkan ayam, gaul rata hingga ayam berubah warna
  3. Tambah santan dan reneh– masukkan santan cair terlebih dahulu. Renehkan atas api perlahan sehingga ayam empuk dan betul-betul masak.
  4. Bila kuah mula pekat, masukkan santan pekat, asam keping, kerisik, daun semangkuk dan daun kunyit.
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masak dengan api yang perlahan dan kerap kacau rendang supaya tidak hangit dan kering merata.

Tips tambahan:

  1. Ayam– boleh gunakan ayam pencen jika suka tapi di rebus dahulu sehingga empuk sebelum di masukkan ke dalam bahan-bahan yang ditumis
  2. Tidak perlu tambah air, cukup gunakan santan cair sahaja supaya ayam tidak hancur
  3. Gunakan api yang kecil dan kerap mengacau supaya tidak hangus semasa menunggu rendang kering
  4. Pastikan daun semangkuk di bersihkan betul-betul sebelum di masukkan. Ia beri aroma wangi yang sangat unik, tapi kalau terlebih boleh buat rendang rasa sedikit pahit.

Penutup:

Rendang ini bukan sahaja kaya rasa, tapi kaya dengan kenangan. Daun semangkuk memberi kelainan yang menjadikan rendang ini begitu tersendiri- herba kampung yang menyatukan rasa tradisi dan kasih sayang dalam setiap suapan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top